Tidak ada sebarang perubahan Black 14 malam ini , rakyat dijemput sertai

14 04 2008

KUALA LUMPUR, 14 APRIL – Jawatankuasa Penganjur Himpunan Rakyat ‘Black 14′, Badrul Hisham Shaharin mengajak seluruh rakyat untuk menghadiri perhimpunan ‘Black 14′ pada malam ini seperti mana yang telah dirancang sejak awal lagi.

Jelasnya, tidak ada pengunguman oleh sesiapa dari jawatankuasa serta Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim bagi menukar sebarang tarikh, tempat atau masa perhimpunan ini.

“Perhimpunan ini telah dirancang sejak awal lagi, dan seluruh jawatankuasa termasuk Naib Presiden Azmin Ali telah menunjukan komitmen yang begitu tinggi dan kini kami berada di tapak perhimpunan bagi memastikan kelicinan dan persiapan terakhir menjelang malam bersejarah nanti,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan pagi ini.

Perhimpunan berkenaan masih diteruskan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, jam 9 Malam ini.

Katanya pihak-pihak yang terdesak sengaja menabur hasutan bagi rakyat tidak menghadiri perhimpunan, ini kerana mereka dalam keadaan ketakutan untuk melihat kehadiran ribuan rakyat di perhimpunan ini.

“Sekali lagi saya jelaskan tidak ada sebarang perubahan, semuanya dalam kawalan dan saya mengajak semua rakyat datang ke perhimpunan yang bersejarah malam ini,” tegasnya sekali lagi.

Badrul turut memberitahu bahawa perhimpunan malam ini adalah sah kerana ianya berada dikawasan persendirian, walaubagaimanapun kehadiran pihak polis adalah wajar bagi mengawal keadaan lalu lintas mahupun keselamatan.

***

Pelan ke Kelab Sultan Sulaiman.

[Picture1.jpg]
-Klik imej untuk besarkan

*KSS: Kelab Sultan Sulaiman, lokasi perhimpunan malam ini.

** Dinasihati menaki kenderaan awam

– Bas: dari mana-mana lokasi di Kuala Lumpur menuju ke Sogo atau Jalan Tunku Abdul Rahman, berhenti di Pizza Hut di Jalan Tunku Abdul Rahman (selepas Chow Kit)

– Monorail: gunakan stesen Jalan Sultan Ismail (berhampiran Concorde Hotel) berjalan ke arah Kg. Baru – Hotel Renaissance. Jarak berjalan kaki kira 350 meter.

– Putra LRT: Berhenti di stesen Kampung Baru dan berjalan ke arah ‘Nasi Lemak Antarabangsa’, sebelum melintasi jalan untuk ke KSS. Jarak berjalan kaki kira kira 250 meter





10,000 Dijangka hadiri perhimpunan Gelita 14 Isnin ini

14 04 2008

KIRA-KIRA 10,000 orang dijangka menghangatkan majlis sambutan ‘Gelita 14′ yang akan diadakan isnin depan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibu negara.

Menurut Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali perhimpunan ini juga akan lebih bersejarah apabila Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim, buat pertama kalinya akan menghadiri perhimpun tersebut dan akan menyampaikan ucapan julung kalinya selepas pilihanraya.

“Anwar akan menyampaikan ucapan perdana yang pertama selepas pilihanraya umum lalu. KeADILan juga mengundang pemimpin PAS dan DAP untuk majlis tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KeADILan, semalam.

‘Gelita 14′ disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong KeADILan.





AMK: Masa Untuk Terlibat Di Dalam Pembinaan Negara

14 04 2008

07 April 2008 Tarikh keramat 4 April 1999 menjadi peristiwa penting politik tanah air apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan untuk menuntut reformasi total dilakukan terhadap sistem bernegara di dalam usaha untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih adil dan demokratik.

Seusai 9 tahun, kini perjuangan rakyat sudah memasuki fasa baru dengan memperolehi kejayaan yang besar dengan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke12 yang lepas. KeADILan yang tertubuh hasil penggabungan strategik Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia kini menjadi harapan baru untuk seluruh rakyat Malaysia. Perjuangan ini pernah merasai pahit dan manis yang tidak terbilang. Pernah berada di tahap yang lemah dan kini berada di tahap yang lebih utuh dengan tertubuhnya Pakatan Rakyat (PkR) hasil muafakat KeADILan-PAS-DAP. Kini, sambutan Hari Keadilan yang kesembilan ini wajar menjadi titik pemula untuk seluruh generasi muda Malaysia untuk mereka mengaktifkan penyertaan di dalam pembinaan negara (partners in nation building) dan juga politik kepartian. Kemenangan luar jangka yang dicapai oleh PkR di dalam PRU12 yang lepas adalah hasil manifestasi suara generasi muda yang kepingin pada perubahan dan menolak penindasan dan kezaliman.

Justeru, dengan nada dan semangat yang sama, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyeru kepada seluruh generasi muda, agar dapat bersama-sama berganding bahu menyertai KeADILan dan Pakatan Rakyat sebagai ahli yang aktif dan konstruktif bagi meneruskan usaha dan cita-cita kita mengambil alih tampuk pemerintahan negara Malaysia daripada terus dijajah oleh Barisan Nasional.

Semangat yang dimulakan 9 tahun yang lalu oleh sebilangan besar generasi muda perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan kepada seluruh rakyat bahawa kita bersedia untuk menjadi agen perubah (agent of change) bagi masa depan negara yang lebih baik.

Berbekal tekad dan iltizam itu, kini sudah sampai masanya generasi muda untuk bersama-sama KeADILan, merealisasikan Harapan Baru untuk Malaysia.

Selamat Menyambut Hari Keadilan!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat





Perutusan Hari KeADILan YB Presiden

14 04 2008

04 April 2008 4hb April merupakan hari ulangtahun penubuhan Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pada tahun 1999. Meskipun sudah hampir satu dekad namun sejarah penubuhannya masih segar dalam ingatan; kebangkitan gelombang rakyat. Menuntut keadilan merupakan asas kebangkitan rakyat pada ketika itu dan ia menjadi landasan perjuangan Parti Keadilan Nasional. Parti ini begitu signifikan kerana ia satu-satunya parti yang memperjuangkan semua kaum dan memberi gambaran sebenar komposisi penduduk di Malaysia.

Parti Keadilan Nasional menjadi wadah perjuangan rakyat dalam usaha menyambung semangat pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu lantaran Barisan Nasional dilihat begitu terpalit dengan penyalahgunaan kuasa dan skandal rasuah, kronisme dan nepotisme.

Setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 20hb Ogos 2003 dan membentuk Parti Keadilan Rakyat parti ini terus kekal releven di persada politik tanahair. Parti yang berasaskan aspirasi, doa dan janji rakyat untuk menuntut perubahan akhirnya berjaya membentuk satu pakatan ampuh ketika PRU12 yang lalu bersama DAP dan PAS. Kejayaan pakatan menafikan majoriti 2/3 kerajaan BN merupakan kejayaan hasil dari doa dan iltizam rakyat sejak tahun 1999. Sesungguhnya kejayaan ini telah memberi keyakinan kepada kita untuk meneruskan apa yang telah dimulakan sejak 9 tahun yang lalu.

Hari ini dengan nama Parti Keadilan Rakyat akan kita teruskan perjuangan ini; Membujur Lalu Melintang Patah.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat





Penubuhan Pakatan Rakyat – Video

5 04 2008