04 April 2008 4hb April merupakan hari ulangtahun penubuhan Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pada tahun 1999. Meskipun sudah hampir satu dekad namun sejarah penubuhannya masih segar dalam ingatan; kebangkitan gelombang rakyat. Menuntut keadilan merupakan asas kebangkitan rakyat pada ketika itu dan ia menjadi landasan perjuangan Parti Keadilan Nasional. Parti ini begitu signifikan kerana ia satu-satunya parti yang memperjuangkan semua kaum dan memberi gambaran sebenar komposisi penduduk di Malaysia.
Parti Keadilan Nasional menjadi wadah perjuangan rakyat dalam usaha menyambung semangat pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu lantaran Barisan Nasional dilihat begitu terpalit dengan penyalahgunaan kuasa dan skandal rasuah, kronisme dan nepotisme.
Setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada 20hb Ogos 2003 dan membentuk Parti Keadilan Rakyat parti ini terus kekal releven di persada politik tanahair. Parti yang berasaskan aspirasi, doa dan janji rakyat untuk menuntut perubahan akhirnya berjaya membentuk satu pakatan ampuh ketika PRU12 yang lalu bersama DAP dan PAS. Kejayaan pakatan menafikan majoriti 2/3 kerajaan BN merupakan kejayaan hasil dari doa dan iltizam rakyat sejak tahun 1999. Sesungguhnya kejayaan ini telah memberi keyakinan kepada kita untuk meneruskan apa yang telah dimulakan sejak 9 tahun yang lalu.
Hari ini dengan nama Parti Keadilan Rakyat akan kita teruskan perjuangan ini; Membujur Lalu Melintang Patah.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Leave a Reply